iLovePalestine.com JIM Klang: May 2010

Wednesday, May 5, 2010

Perhimpunan Perdana PALESTIN

Perhimpunan Perdana PALESTIN
Tarikh; 8 Mei 2010
Lokasi: Stadium Melawati, Shah Alam
Masa: 7.00mlm hingga 11.30mlm

Aktiviti Menarik
- Persembahan Nasyid, Parkour & Sketsa
- Tayangan Video Air Mata Palestin
- Ucapan Wakil-wakil NGO
- Ucapan Wakil dari Palestin
- Penyampaian Sumbangan

Tetamu Jemputan
- Kumpulan Nasyid & Artis-artis Tanah Air
- Kumpulan Nasyid Shoutul Harokah

*Bawa bersama sepanduk & banner sebagai tanda sokongan anda
*Kutipan dana akan turut diadakan & sumbangan akan disalurkan ke Gaza secara langsung.
*Bawa sejadah untuk solat Maghrib berjemaah di Stadium.

Anjuran
* Coalition of Graduates of Higher Institutions of Malaysia (HALUAN)
* Malaysian Muslim Youth Movement (ABIM)
* Jemaah Islah Malaysia (JIM)
* Palestinian Center of Excellence (PACE)
* Aqsa Syarif
* Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Dewan Pemuda)
* Pertubuhan Mawaddah Malaysia
* Viva Palestina Malaysia (VPM)
* Global Peace Mission
* Muslim Care
* Yayasan Amal Malaysia

Dengan Kerjasama
* Majlis Bandaraya Shah Alam
* Nasyeed.com
* Muadz4peace. com
* ShouHAR Management (Malaysia)

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi kami

Office & Correspondence Address:
Lifeline 4 Gaza
c/o Biro HALUAN Palestin
16-1 Jalan Dinar A U3/A, Seksyen U3, Taman Subang Perdana
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

http://www.lifeline4gaza.org
603 7846 4146
info@lifeline4gaza.org

Kepada anda yang tidak dapat hadir, ayuh! Sebarkan usaha ini kepada kenalan-kenalan yang anda kenali tanpa mengira batasan bangsa, agama & politik!

Anda juga boleh salurkan sumbangan ke
Tabung Palestin HALUAN
Maybank: 5644 9020 8528

Cadangan Teks Khutbah Sempena Ulangtahun Nakbah

Khutbah pertama

Isi khutbah pertama

Hari ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Persitiwa tersebut dikenali sebagi Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbahberlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera 'The Star of David' dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram israel diistiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulang tahun ke 62 tahun ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh ,asyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk merempat di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini nasib mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai serorang muslim. Apakah asas kepada perkara ini?

Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa 'nation state' yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh Al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT 'Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan Daku'. Di tempat yang lain Allah berfirman 'Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Ku".....

Oleh kerana begitu mendalamnya konsep 'nation states' yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain. Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam. Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh. Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu persatu. Bahkan 'legacy' penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang 'artificial' sehingga wujudlah 67 negara bangsa yang kadang-kadang hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan Eritrea.. Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang jumlahnya 67 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin di kelilingi oleh negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroluemnya tetapi seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua. Di samping Makkatul mukarramah dan Madinatul munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu BaitulMaqdis di mana terletaknya masjid al Aqsa. Ia menjadi transit atau tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra dan Mikraj. Ia mengisyaratkan Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bari Rasulullah SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu masjid al Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan lewat hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.

Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani)

Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut

Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra' bin `Azib:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان أول ما قدم المدينة نزل على أجداده من الأنصار وأنه صلى قبل بيت المقدس ستة عشر شهرا أو سبعة عشر شهرا.

Daripada al-Barra' bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan

Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.

Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. "Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari

Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setalh ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini. Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya masjid al aaqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al Ayubbi ketika Baitul Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik di potong, tidak ada barangan yang boleh di bawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan kepada mereka. Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam. Dalam keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam? Apabila penduduk Gaza merobohkan tembok sempadan di Rafah, Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan mereka, sempadan tersebut ditutup semula atas arahan Israel.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap keborokan sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinny a terubat apabila kita teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira tentang satu kelompok yang terus berjuang dan mereka tidak mungkin dikalahkan oleh musuh-musuh mereka sehinggalah Allah memberi kemanangan kepada mereka. Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW di manakah mereka itu, dijawab oleh Nabi 'mereka itu berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis'. Maka sidang Jumaat yang dirahmati Allah, istiqamahnya para pejuang di Palestin pada hari ini dalam mempertahankan tanah suci umat islam adalah gambaran dari kebenaran kata-kata Rasulullah SAW. Semuga kita semua termasuk dalam golongan yang bersama berjuang untuk membebaskan bumi Palestin, tanah suci umat Islam dari penjajahan musuh. Ameen Ya Rabuul Alaamin

Teks khutbah disediakan oleh
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence

Kenyataan PACE: Memperingati Ulangtahun Nakbah ke 62

MEMPERINGATI ULANGTAHUN NAKBAH KE 62

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali. Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang. Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 62. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.

Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan. Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.

Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.

Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.

Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.

Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia.

Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2010 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
Palestine Centre of Excellence

Kuliah Dhuha di Pejabat JIM Seri Andalas

Assalamualaikum wrt wbkth,

Ikhwah wa akhawat fillah,

Sukacita dimaklumkan bahawa sambungan siri Kuliah Dhuha oleh Ustaz Asmadi akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 9 Mei 2010 (Ahad)
Waktu: 10.30 pagi
Tempat: Pejabat JIM Taman Seri Andalas
Tajuk:Apa Ertinya Saya Menganut Islam? (Sambungan.. .)

Sila datang beramai-ramai dan ajaklah mad'u, rakan taulan, sanak saudara dsb utk mengambil manfaat daripada program ilmu ini.

Jzkk
farid